Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Hanya kerana permintaan tidak dilayan, seorang lelaki tergamak mengugut untuk mencederakan ibunya sendiri dengan parang dalam kejadian di Jalan Chester, semalam.
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lelaki berusia 30-an itu turut bertindak agresif sebelum berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, suspek mengugut untuk memukul ibunya menggunakan parang.
Katanya, tindakan agresif itu didakwa bukan kali pertama berlaku serta turut menyebabkan kerosakan kepada harta benda jiran.
“Suspek warga tempatan itu berjaya ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau sekitar jam 2 pagi di kaki lima sebuah bangunan di kawasan bandar Tawau.
“Penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima daripada adik suspek pada jam 12.06 tengah malam, hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Jasmin berkata, suspek ditahan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Sehubungan itu, Jasmin menasihati orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya berlaku ancaman atau keganasan di kalangan keluarga.
Katanya, laporan segera kepada pihak polis perlu diambil agar tindakan awal dapat dilakukan demi keselamatan semua pihak.

ditangkap polis.