Remaja maut terkena renjatan elektrik

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai Kampung Minansad, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, hasil siasatan awal, mangsa dikatakan pergi ke lokasi berkenaan untuk memanah ikan.
Katanya, mangsa turut memaklumkan kepada bapanya bahawa dia pergi ke lokasi bersama tiga rakannya.
“Jarak antara rumah mangsa dengan sungai kira-kira satu kilometer. Sejam selepas itu salah seorang rakannya datang ke rumah mangsa dan memberitahu mangsa terkena renjatan elektrik ketika berada di dalam sungai.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadikan dan mendapati mangsa berada di dalam sungai dalam keadaan kabel elektrik berada di tangannya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui apa-apa kesan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa naik ke daratan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Kota Marudu.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.
“Setakat ini, kes diklasifikasiksn sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

MAUT …. Mangsa ditemukan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sebuah sungai berhampiran Kampung Minansad.