Hajiji lancarkan Karnival Ulang Tahun Masjid Bandaraya ke-25

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Karnival Jubli Perak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu semalam.
Pelbagai program telah diatur semasa karnival yang berlangsung dari 18 sehingga 20 April, termasuk pameran oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta di perkarangan masjid.
Hajiji, yang diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif serta Pengerusi Masjid Bandaraya Datuk Paiman Abd Karim, juga melawat gerai-gerai pameran selepas majlis pelancaran.
Sementara itu, Paiman berkata, sebanyak 35 gerai telah dibuka dan disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, pelbagai program telah diisi selama tiga hari karnival itu diadakan demi manfaat masyarakat.
“Kami juga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri. Selain itu, saya juga memohon agar masjid ini dilengkapkan dengan penghawa dingin.
“Kalau kita tengok masjid dan surau di Sabah ini, semuanya mempunyai penghawa dingin,” katanya.

KENANGAN ….. Hajiji (tiga kiri) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain selepas menyempurnakan perasmian majlis itu.