JKDM rampas 71.7kg dadah bernilai hampir RM2.5 juta

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas tiga jenis dadah bernilai hampir RM2.5 juta yang cuba diseludup menggunakan perkhidmatan kurier dalam tiga serbuan berasingan.
Rampasan dadah terbesar bagi tempoh 4 bulan pertama tahun 2025 itu melibatkan 71.7 kilogram Methamphetamine, 434 gram Ketamine dan 15.357 kilogram ganja.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, operasi dilaksanakan hasil maklumat awam dan komitmen berterusan pihak JKDM Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
Katanya, kes pertama membabitkan rampasan dadah jenis Methamphetamine hasil serbuan di Mas Kargo, Kota Kinabalu, pada 28 Mac lalu.
“Dalam serbuan jam 6.25 petang, pasukan operasi berjaya merampas empat bungkusan yang tidak bernama berisi dadah jenis Methamphetamine.
“Semua dadah seberat 71.7 kilogram itu dianggarkan bernilai RM2,295 juta,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini.
Menurutnya, serbuan kedua melibatkan rampasan dadah jenis Ketamine pada 1 Mac lalu di Pos Aviation, Kota Kinabalu.
Katanya, dalam serbuan jam 8 pagi berkenaan, pasukan operasi mendapati bungkusan yang dihantar masuk menggunakan perkhidmatan kurier itu mengandungi Ketamine seberat 434 gram yang dianggarkan bernilai RM86,800.
“Manakala serbuan ketiga berjaya merampas empat bungkusan di premis Mas Kargo, Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi barangan yang disyaki dadah jenis ganja seberat 15.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM47,606,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga kes dikesan menggunakan perkhidmatan kargo udara untuk menyeludup masuk dadah bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori atau jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dengan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan.
Sehubungan itu, Saidin menyarankan orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan kerana ia bukan saja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.“JKDM menyeru kepada orang ramai untuk memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Saidin menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam tiga serbuan berasingan.