9,000 liter minyak petrol bersubsidi dirampas

Oleh FARDY BUNGGA


LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah premis dan berjaya merampas 9,000 liter minyak petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diselewengkan dalam operasi di Jalan POIC, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi dilaksanakan selepas menerima maklumat risikan berhubung aktiviti kegiatan berkenaan di sekitar daerah berkenaan.
Katanya, hasil serbuan yang dijalankan, pasukan operasi berjaya mengesan dan merampas 17 unit drum plastik berwarna biru pelbagai saiz.
“Pasukan serbuan turut berjaya merampas lima unit tangki IBC L dan dua tangki Fibre berisi minyak petrol bersubsidi.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM50,700 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Nazri berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sehubungan itu, Mohd Nazri memohon kerjasama orang ramai untum menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan penyeludupan barangan subsidi kerajaan.
“PPM mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

LOKASI …. Semua minyak petrol bersubsidi yang dirampas diserahkan kepada KPDN.