Kemuka dokumen palsu RM85,000
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas setiausaha sebuah persatuan selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu dalam permohonan mendapatkan peruntukan khas berjumlah kira-kira RM85,000 daripada Ketua Menteri Sabah.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan sekitar jam 9.40 pagi Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Peruntukan yang dipohon kononnya bertujuan untuk membina bangunan pejabat pentadbiran persatuan berkenaan yang terletak di sebuah daerah di negeri ini, yang juga tempat suspek bertugas.
“Suspek yang juga seorang guru besar disyaki mengemukakan dokumen palsu semasa memohon dana khas berkenaan.
“Beliau kini digantung tugas dan pernah dituduh sebelum ini dengan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 471 dan Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 21 Mei tahun lalu,” katanya.
Kes berkenaan bagaimanapun masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Susulan penahanan ini, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu bagi tujuan pertuduhan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan.
Beliau memaklumkan bahawa kes akan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.







