TPNS bantu 103 sekolah terjejas banjir

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menghulurkan bantuan berjumlah RM515,000 kepada 103 buah sekolah yang terjejas banjir di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata setiap sekolah terbabit menerima bantuan RM5,000 untuk menampung kos membersih dan memulihkan keadaan sekolah masing-masing.
“Hari ini kita menyampaikan bantuan kepada lebih 100 sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang terlibat banjir pada bulan lalu dan kita berharap bantuan berkenan dapat sedikit sebanyak membantu mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS memaklumkan semua sekolah yang mengalami kerosakan peralatan komputer akibat banjir boleh memohon Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).
“Mana-mana sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang peralatan komputernya terjejas, kita akan bantu melalui BISBAH.
“Di bawah tugas-tugas khas, bantuan BISBAH ini memang kita berikan setiap tahun kepada sekolah.
“Tapi apabila ada yang terjejas, misalnya komputer dan peralatan yang lain, boleh memohon dan maklumkan kepada kita,” jelas beliau kepada media dalam Majlis Penyampaian Sumbangan TPNS dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Menara Kinabalu.
Pada majlis itu, Arifin yang diiringi Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Norlijah Danin turut menyampaikan bantuan kaca mata kepada 20 pelajar sekolah menengah.
“Hari ini juga, kita menyampaikan bantuan RM2,000 untuk anak-anak kita yang juga memerlukan kacamata khususnya yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya.
Turut disampaikan, sumbangan TPNS kepada 69 orang pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta merangkumi pelajar dari dalam dan luar negara, selain Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) masing-masing berjumlah RM8,750 dan RM20,000.-Penerangan

KENANGAN …. Arifin (tengah) dan Ghulam Haidar merakamkan gambar kenangan bersama wakil-wakil sekolah yang menerima bantuan banjir.