Cubaan Seludup Minyak Masak dan Petrol Subsidi Gagal.

Oleh FARDY BUNGGA


SEMPORNA: Cubaan penyeludup membawa keluar minyak masak dan petrol subsidi gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).
Semua barang kawalan bernilai keseluruhan RM48,722.50, dirampas menerusi Op Taring Gelora di perairan Laut Larapan, di sini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi berjaya menahan tiga bot kayu yang dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya terus bertindak menahan ketiga-tiga bot berkenaan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap semua bot, pasukan operasi menemui sebanyak 300 liter minyak petrol dan 1,003 paket minyak masak satu kilogram disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Semua barang rampasan termasuk barang kawalan dan bot berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM48,722.50 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Nazri berkata, PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

CUBA DISELUDUP …. Minyak masak dan petrol bersubsidi yang dirampas dalam operasi berkenaan.