Rempuh tiang elektrik, lelaki meninggal dunia

Oleh FARDY BUNGGA

TAWAU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas sehingga merempuh tiang elektrik sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Jawa, Jalan Dr. Yamamoto, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kemalangan menyebabkan mangsa berusia 32 tahun tersepit di dalam kenderaan jenis Proton Satria berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.13 pagi
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke tempat kejadian untuk membantu.
“Kemalangan menyebabkan mangsa tersepit dalam pasukan operasi terus menjalankan operasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan melalui cermin belakang kereta yang pecah. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.54 pagi,” katanya.
Terdahulu, operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi.

KELUARKAN ….. Pasukan BBP Tawau berusaha mengeluarkan mangsa tersepit pada kenderaan akibat kemalangan di Kg Jawa, Jalan Dr. Yamamoto.