SEMPORNA: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lalang menjadi tuan rumah kepada Program Wacana Akademik Kajian Tindakan Pengajaran dan Pembelajaran serta Pengurusan Pendidikan.
Program ini hasil kolaborasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, sebagai inisiatif yang turut memacu budaya penyelidikan kajian tindakan dalam kalangan pentadbir dan guru, sebagai asas peningkatan profesionalisme warga sekolah.
Dalam ucapan perasmiannya, Guru Besar SK Bukit Lalang merangkap Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Daerah Semporna, Haji Aldam Abdullah menekankan pentingnya kajian tindakan sebagai alat reflektif bagi memperbaiki amalan pengajaran dan pengurusan sekolah.
Beliau merakamkan penghargaan kepada panel jemputan, antaranya Abdul Nasir Paisal, Pegawai SISC+ PPD Semporna, serta empat orang pensyarah IPG Kampus Tawau,Dr Norjanah Ambo, Dr Rozani Ahmad, Dr Hjh Rosnah Abdul Razak, Dr Rosnah Jamba, yang turut menyokong penganjuran program ini.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan program ini menandakan komitmen SK Bukit Lalang untuk menerajui perubahan ke arah pendidikan berasaskan penyelidikan dan inovasi.
Program ini menampilkan 12 orang pembentang, bermula dengan Guru Besar sebagai peneraju utama, diikuti oleh Fatimaya Abdul Raof, Guru Penolong Kanan HEM, 8 orang Guru SK Bukit Lalang, Rosliza Amir Bek (Penyelaras Program),Intan Munirah Mohd Nordin, Rozianah Rahmat, Satriana Aras, Sitti Suaibah Bacho Tang,Athyrah Petry, Syarifah Nurul Baiti Sayed Mustapha, Ustazah Fadilah Ramle, Suhaila Jaabi (SK Balimbang),dan Sitti Zuraidah Mukaddam (SK Pulau Larapan).
Sebagai pengiktirafan di peringkat IPG, IPG Kampus Tawau juga menjenamakan kolaborasi ini sebagai Program SPIN — singkatan kepada ‘Sekolah Penyelidikan Dan Inovasi’, melambangkan komitmen IPG dalam mengangkat inovasi dan membudayakan penyelidikan pendidikan di lapangan.
Dalam ulasan selepas sesi pembentangan, Abdul Nasir, menzahirkan penghargaan atas komitmen SK Bukit Lalang, yang diiktiraf sebagai rintis kajian tindakan sekolah rendah daerah Semporna.
Beliau juga menyatakan PPD Semporna komited untuk terus menyokong dan memperluaskan amalan ini ke sekolah-sekolah lain di daerah ini sebagai usaha mempertingkatkan profesionalisme guru dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu, Ketua Panel, Dr. Hjh Rosnah Abdul Razak, turut memuji kualiti penyelidikan guru-guru, menyifatkan hasil kajian mereka sebagai inovatif dan berpotensi diperkasakan kepada inovasi pendidikan.
Program yang berlangsung di Dewan SK Bukit Lalang ini disertai oleh pentadbir dan guru dari beberapa sekolah sekitar Semporna, menandakan langkah permulaan penting dalam peluasan budaya kajian tindakan di daerah ini.










