PITAS: Kekerapan bertukar kerajaan adalah salah satu penyebab Sabah lambat membangun jika dibandingkan Sarawak, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Oil & Gas Development Corporatioan Sdn Bhd, Datuk Haji Harun Haji Ismail.
Katanya, satu ketika dahulu Sabah mendahului Sarawak dalam pelbagai sektor sama ada dari sektor pelancongan, perikanan, gas dan minyak dan sebagainya.
Tetapi apabila kerajaan sering bertukar sehingga Sabah menjadi negeri yang memiliki paling ramai Ketua Menteri yang kerap berganti, proses pembangunan di negeri ini menjadi terencat dan ketinggalan.
Menurutnya, situasi ini berbeza dengan Sarawak yang memiliki kerajaan yang stabil sejak Merdeka, kepimpinannya sentiasa muafakat dan sepakat, peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak berjalan lancar walaupun jumlahnya tak ramai.
Hasilnya kita lihat Sarawak terus melonjak maju dan berdaya saing berbanding negeri lain di negara ini.
“Kita ambil contoh pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak. Rakyat Sarawak sudah menikmati sepenuhnya lebuh raya Pan Borneo tetapi di Sabah masih ketinggalan.
“Penyebabnya ialah kerana seringkali bertukar kerajaan dan pemerintahan,” katanya.
Bagaimanapun, Harun berkata kerajaan berjaya meningkatkan pendapatan dan berjaya mencatat keuntungan lebih tujuh bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.
Katanya, empat tahun lalu ketika kerajaan sekarang mengambil alih pemerintahan, kedudukan kewangan kita pada ketika itu adalah kira-kira empat bilion.
Jelasnya, negeri Sabah kaya dengan sumber asli selain gas dan minyak, arang batu, mineral dan galian lain.
“Kita juga ada Gunung Kinabalu, dalam sektor pelancongan, sumber laut, lapan buah pelabuhan perkapalan termasuk yang terbaharu yang boleh meningkatkan pendapatan kewangan kepada Kerajaan Negeri ini,” katanya.
Justeru itu, beliau merayu semua lapisan masyarakat di daerah ini agar bersatu perkukuhkan jalinan silaturahim,eratkan perpaduan kaum dan pertahankan kerajaan yang ada sekarang untuk terus menerajui kepimpinan negeri demi kemajuan dan kemakmuran rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) dan Timbalan Ketua Bahagian GRS DUN Pitas, antara lain berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Bersatu Sabah PBS Pitas bersama kompenan GRS Pitas, di Kampung Mempakad Laut dekat sini.
Turut hadir, isteri Harun Datin Hajjah Siti Mariam Wong, Ketua Bahagian PBS Pitas merangkap Pengerusi Penganjur program Awang Okik, AJK GRS Bahagian Pitas merangkap penyelaras bersama program Malai Saharuddin Malai Ahmat.










