KKIS bantu lepasan tahfiz, pondok sambung pengajian ke diploma – Sapawi

KOTA KINABALU: Penubuhan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) bertujuan membantu pelajar lepasan sekolah tahfiz, pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) menyambung pengajian ke peringkat diploma.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata bangunan KKIS di Kampung Marasinsim, Kota Marudu dijangka dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 22 September ini.
“Kita mahu anak-anak Sabah, khususnya lepasan tahfiz, pondok dan institusi pendidikan Islam, mempunyai peluang memperoleh kemahiran yang boleh membina masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Insan (PPMI) Institut Pendidikan Islam yang disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Haji Aliasneh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Sabtu.
Sapawi berkata KKIS bukan sahaja menyediakan pendidikan agama, malah menawarkan kemahiran vokasional bagi memperluas peluang pendidikan dan kerjaya pelajar.
Beliau berkata USIA akan terus memperkasa kemahiran guru Pendidikan Islam supaya mereka menguasai ilmu agama, pedagogi, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, dakwah dan pendidikan merupakan antara teras perjuangan USIA bagi melahirkan insan berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Sapawi berkata PPMI turut bertujuan meningkatkan kemahiran guru dalam pengurusan pendidikan Islam dan penggunaan AI.
“Kita mahu guru-guru yang menyertai PPMI menguasai ilmu ini,” katanya.

Sapawi Ahmad