Pendidikan pelaburan jangka panjang paling bernilai – Isnin

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pendidikan dan ilmu merupakan antara pelaburan jangka panjang paling bernilai dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta membangunkan modal insan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Haji Aliasnih.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasa pendidikan bagi memastikan anak-anak Sabah, sama ada di bandar atau luar bandar, mendapat peluang pendidikan berkualiti dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa.
“Pendidikan dan ilmu mampu membuka minda, membina kemahiran, meningkatkan peluang pekerjaan dan seterusnya mengubah keadaan ekonomi sesebuah keluarga.
“Apabila seorang anak mendapat ilmu dan kemahiran, dia bukan sahaja mengubah masa depannya, malah berpotensi mengubah kehidupan ibu bapa, keluarga dan generasi selepasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pembangunan Insan (PPMI) Institut Pendidikan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Sabtu.
Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.
Terdahulu, Isnin berkata guru Pendidikan Islam bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah berperanan membentuk pemikiran, karakter dan masa depan generasi muda.
Katanya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang pesat menyediakan peluang untuk membantu guru menyediakan bahan pengajaran, membina aktiviti pembelajaran dan menghasilkan kandungan lebih kreatif serta interaktif.
Bagaimanapun, katanya AI hanyalah alat, manakala guru kekal sebagai insan yang membimbing, mendidik dan membentuk nilai.
“Dalam Pendidikan Islam, penggunaan AI mestilah disertai akhlak, adab, amanah, ketepatan ilmu dan kefahaman terhadap sumber Islam yang sahih,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penganjuran PPMI serta pewujudan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) yang menurutnya mampu memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini.

Isnin (tengah) diiringi Sapawi dan jawatankuasa penganjur pada majlis perasmian Program Pembangunan Insan Institut Pendidikan Islam di SICC, Kota Kinabalu, Sabtu.