Aidilfitri menyatu padukan masyarakat majmuk – Hajiji

PITAS: Sambutan Hari raya Aidilfitri bukan hanya sekadar perayaan tetapi ianya satu kesempatan untuk umat Islam merenung kembali pengorbanan sepanjang bulan Ramadan yang lalu.
Ramadan telah melatih untuk kita hamba yang bertakwa, bersyukur dan hamba yang perihatin terhadap nasib masyarakat sekitar kita, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor
Katanya, sesungguhnya majlis sambutan hari raya ini amat bermakna kepada kita semua ia juga penting kerana sambutan rumah terbuka ini menjadi penyatu kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama yang menjadi wadah perpaduan di daerah ini khasnya negeri Sabah amnya.
Kesatuan dan perpaduan ini melambangkan betapa kita di Sabah menjadi contoh teladan masyarakat madani yang kekal hidup harmoni walau pun kita berlainan fahaman, anutan dan budaya.
“Ini cerminan kebersamaan yang indah di negeri Sabah di mana kita sentiasa bersama-sama merayakan apa juga perayaan sama ada perayaan Hari Raya Aidilifitri, Kaamatan, Krismas atau Tahun Baharu Cina dan lain-lain perayaan.
“Sesungguhnya penganjuran rumah terbuka seperti yang diusahakan oleh Persatuan Dusun Islam Sabah ini amat penting dalam memperkukuhkan perpaduan dan muhibbah antara pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya, dalam suasana yang penuh keharmonian ini, kita dapat mengeratkan silaturahim, kita dapat merapatkan ikatan antara satu dengan yang lain dan kita dapat mengwujud suasana masyarakat yang bersatu padu.
“Justeru itu, saya ingin mengajak rakyat jelata di negeri ini keseluruhannya untuk bersama sama kita dalam kepimpinan kerajaan sekarang bukan sahaja untuk mempertahankan perpaduan dan keharmonian tetapi juga terus menyuburkan nilai keharmonian dan perpaduan di Sabah.
“Ini penting kerana keharmonian adalah kunci kesejahteraan dan kebahagian sekaligus menjadi pemacu kemajuan negeri kita.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri merintis pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu plan pembangunan 1.0 Sabah Maju Jaya 2021/2025 sejurus mengambil alih teraju pemerintahan Kerajaan Negeri bagi memacu pembangunan ekonomi negeri.
“Alhamdulillah usaha yang kita laksanakan menerusi hala tuju SMJ sudah membuahkan hasil,” katanya.
Tambahnya lagi, banyak inisiatif yang dilaksanakan baik dalam aspek ekonomi atau pun kesejahteraan rakyat ini termasuk bantuan untuk anak-anak kita kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institiut Pengajian Tinggi (IPT), seperti bantuan tunai pendaftaran IPT atau BUDI dan bantuan tunai khas peperiksaan atau BAKTI, selain tiket penerbangan kepada pelajar.
Inisiatif lain yang turut diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan termasuk rumah mesra SMJ semua 73 kawasan/daerah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), dan yang terbaharu program Sentuhan Kasih Rakyat (SUKUR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun ini.
“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat negeri Sabah untuk sama-sama menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya kerana hala tuju ini bermanafaat untuk memacu pembangunan dan menjayakan negeri kita yang tercinta ini,”katanya.
Selain itu katanya, untuk menjadi sebuah pertubuhan yang cemerlang dan terbilang, kunci utamanya ialah kerjasama dan bersatu padu kita semua sedia maklum bahawa jika kita dapat bersatu sebagai satu pasukan yang mantap maka kelemahan itu dapat diatasi dan akhirnya ia akan menjadi salah satu kelebihan.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden dan warga kerja PDIS atas kejayaan penganjuran program yang besar ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Haji Ariffin Haji Mohd. Ariff.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) yang juga pengerusi penganjur program Datuk Haji Harun Haji Ismail berkata, majlis ini adalah satu wadah untuk kita bersama-sama menyemarakkan semangat Aidilfitri dalam suasana kesyukuran, kasih sayang dan muhibah.
Katanya, ianya juga menjadi simbolik kepada perpaduan yang terus kita semai dalam kalangan masyarakat khususnya warga Dusun Islam yang sentiasa mendukung nilai-nilai murni dalam kehidupan berkomuniti.
“Kehadiran masyarakat berbilang kaum bukan sahaja mencerminkan rasa hormat dan kebersamaan tetapi ianya juga memperkukuhkan ikatan ukhuwah yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah pertubuhan dan komuniti yang berdaya saing,” katanya.
Sehubungan itu, saya bersama warga kerja PDIS dengan kerjasama Wanita USIA Bahagian Pitas merakamkan penghargaan dan terima kasih buat seluruh ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis yang dihadiri hampir tiga ribu orang yang datangnya dari pelbagai pelusuk di negeri ini.
Acara itu turut dimeriahkan dengan penyerahan kunci rumah kebajikan kepada Puan Afnah Tundan, balu kepada Allahyarham Cikgu Malek di antara mangsa kebakaran rumah kediaman di Kampung Taka Pitas tahun lalu.
Turut diadakan, penyerahan mok cek dari Reliant Resourees Sdn Bhd, Nusantara Renewable Gas Sdn Bhd, Bina Teraju Sdn Bhd, Majlis Ugama Islam (Tabung Zakat) dan Baitulmal kepada Pertubuhan Dusun Islam Sabah, persembahan tarian kebudayaan, pelancaran filem Duyung Supirak, persembahan lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri oleh para artis tempatan Sabah dan Semenanjung, dan cabutan tiket pengunjung bertuah.
Hadir bersama dalam majlis itu ialah isteri Harun Datin Hajjah Siti Mariam Wong, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Adun Bengkoka Datuk Harun Durabi, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Adun Pitas Datuk Seri Dr Ruddy Awah, Ketua Bahagian PGRS Dun Bengkoka Datuk Haji Muhammad Tassan, Ahli Lembaga Pengarah Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd, Datuk Pintas dan Penasihat Pertubuhan Kimaragang Malaysia Datuk Dr. Janathan Kandok, serta pemimpin komuniti yang lain.

REPLIKA KUNCI… menyaksikan Ariffin menyampaikan replica kunci rumah Kebajikan kepada Puan Afnah Tundan disaksikan oleh Pintas, Ruddy dan Harun
CEK … Pengurus Reliant Resourees Sdn Bhd (dua dari kanan) menyampaikan mok cek kepada Ariffin untuk disampaikan kepada Harun Ismail.
LANCAR… Ariffin melancarkan filem Duyung Supirak.
PENGHARGAAN..Harun (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Ariffin.