Oleh : Fardy Bungga
PENAMPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 94 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Operasi Gempur Bersasar yang dilaksanakan di sekitar daerah Penampang, hari ini.
Dalam operasi di tapak pembinaan bermula jam 10 pagi itu, seramai 165 individu warga asing berjaya diperiksa.
Daripada jumlah itu, seramai 94 PATI ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan Imigresen dibawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki, 12 perempuan dan 22 kanak-kanak.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Semua tahanan dipercayai melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas yang dikeluarkan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti PATI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Setakat ini, seramai 11,000 orang telah diperiksa dan tangkapan melibatkan seramai 1,956 orang dan pemindahan PATI kenegara asal seramai 4,851 orang.
“Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di Malaysia,” tegasnya.








