Penghuni rayu kerajaan pulihkan krisis bekalan air di Taman Bukit Hijau
KOTA KINABALU: Penghuni Taman Bukit Hijau di sini merayu kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan drastik untuk menyelesaikan krisis bekalan air yang sudah berlarutan sejak Ogos 2024.
Keadaan semakin kritikal apabila gangguan bekalan air berlaku hampir setiap dua minggu sejak tiga bulan kebelakangan ini, dengan tempoh gangguan yang berlarutan sehingga lebih seminggu.
Salah seorang penghuni yang hanya mahu dikenali dengan nama Lau berkata, masalah ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian mereka, malah turut meningkatkan beban ekonomi dan tekanan mental, terutama kepada keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas.
“Walaupun kami sudah membuat aduan berkali-kali kepada pihak Jabatan Air Negeri Sabah, namun masalah ini masih berulang tanpa penyelesaian yang konkrit.
“Saya terpaksa mengambil inisiatif memasang tangki air berkapasiti 3,000 liter di rumah sebagai langkah persediaan menghadapi gangguan air. Namun, disebabkan gangguan yang berpanjangan, tangki berkenaan turut habis digunakan.
“Tiada bekalan air menyebabkan kami tidak dapat memasak, mencuci pakaian, mandi atau menggunakan tandas. Keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas paling teruk terjejas,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, ramai penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara-mara atau rakan untuk mandi dan mengambil bekalan air.
“Ada yang keluar pada waktu malam mencari sumber air, sekali gus menambah bebanan kos dan menjejaskan keselesaan hidup,” katanya.
Beberapa penduduk lain menyenaraikan insiden gangguan air yang semakin kerap, termasuk penutupan Loji Rawatan Air Talibong akibat paras ammonia yang tinggi, kebocoran paip utama di Tuaran, tekanan air yang sangat rendah, talian hotline Jabatan Air Negeri Sabah yang sukar dihubungi serta penghantaran air oleh lori tangki yang tidak mencukupi.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnah turut menyatakan keluhannya dan mendakwa gangguan kali ini adalah yang paling teruk pernah dialami sejak beliau menetap di kawasan terbabit.
“Sudah lebih sembilan hari kami langsung tiada air. Semua tangki simpanan air di taman perumahan ini sudah kosong. Talian Jabatan Air Negeri Sabah tidak dijawab dan juruteknik pun tidak datang secara berkala. Kami benar-benar sudah hilang sabar.
“Penghuni lain turut memaklumkan bahawa mereka semakin hilang kepercayaan terhadap keupayaan pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah ini.
“Oleh itu kami mendesak agar tindakan segera diambil untuk memulihkan bekalan air dengan cara yang lebih sistematik dan mampan,” katanya.
Beliau berkata, penduduk di kawasan itu juga menyeru kepada Jabatan Air Negeri Sabah dan kerajaan negeri agar tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai punca sebenar masalah ini.
“Kami berharap agar satu pelan tindakan konkrit dapat dirangka untuk menstabilkan sistem bekalan air di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, taman perumahan yang terletak bersebelahan iaitu Taman Canggih turut dilaporkan menghadapi masalah yang sama sejak beberapa bulan lalu, dengan keadaan yang tidak banyak bezanya daripada Taman Bukit Hijau.
Penduduk berharap suara mereka didengari dan langkah penyelesaian segera diambil bagi memulihkan semula kualiti hidup yang terjejas akibat krisis bekalan air ini.





