LABUAN: Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman (SPKK) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Kursus Pertolongan Cemas & CPR di Bilik Seminar Layangan, Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL.
Ketua Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman, Norhanizah Adnan berkata kursus itu bertujuan untuk memberi latihan serta pengetahuan bantuan segera atau rawatan kecemasan yang diberikan untuk orang yang tercedera sebelum mendapatkan bantuan atau perawat yang bertauliah.
Selain itu, katanya, untuk memenuhi keperluan objektif Jawatankuasa dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Kolej Kediaman.
Beliau berharap kursus itu memberi manfaat kepada warga kampus termasuk kakitangan, pelajar dan penggerai.
Kursus yang disertai 40 peserta yang terdiri daripada kakitangan, pelajar dan penggerai itu dikendalikan Pegawai Perubatan UMSKAL, Dr. Lily Shuzeen Kimin.
Kursus yang berakhir pukul 1 petang itu mendapat kerjasama Sektor Klinik Rawatan Warga (KRW) UMSKAL.
Norhanizah menambah pihaknya akan terus mengadakan kursus yang memberi manfaat kepada warga kampus khususnya pelajar.
“Kami berharap peserta akan menggunapakai ilmu yang diperolehi untuk manfaat sendiri dan keluarga,”katanya.




