PBT pemacu kerajaan peringkat ketiga – Joachim

KOTA KINABALU:  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan penting sebagai kerajaan peringkat ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, tanggungjawab yang digalas oleh Ahli Majlis Daerah yang dilantik sebenarnya sama penting dengan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya ingin tekankan bahawa menjadi Ahli Majlis Daerah adalah sama penting seperti kami yang menjadi ADUN. Kamu sebenarnya merupakan pembuat keputusan atau pembuat dasar di peringkat kerajaan ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, iaitu Majlis Daerah.  

“Anda mempunyai kuasa. Semua keputusan kamu diperlukan sebelum Pengerusi atau Pegawai Eksekutif dapat mengambil tindakan. Jika kamu tidak meluluskan kewangan untuk sesuatu tahun, maka dana tersebut akan tergantung dan mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana tiada kelulusan dasar atau pelan yang dirancang oleh pihak Pengerusi atau Majlis Daerah.  

 “Inilah sebabnya peranan tersebut sangat penting. Kita perlu melaksanakannya dengan berhemah, penuh integriti dan ketelusan,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Putatan bagi sesi 2025 hingga 2027 pada Selasa.  

Beliau berkata, PBT bukan sahaja mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak dasar, malah bertanggungjawab dalam pembangunan tapak komersial dan perumahan serta kelulusan lesen perniagaan.
“PBT merupakan entiti yang berkuasa dalam melulus dan menolak dasar, membangunkan tapak komersial dan perumahan serta meluluskan lesen perniagaan,” katanya.
Joachim turut menjelaskan, peranan PBT dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam turut merangkumi aspek penting seperti pemantauan kebersihan dan pengurusan sampah.
  
“Untuk makluman, di Sabah ini belum ada satu pun tapak pelupusan sampah yang benar-benar memenuhi piawaian kelulusan. Mungkin ada dua atau tiga tapak seperti di Kimanis dan Keningau, tetapi hakikatnya itu pun masih dalam proses pembinaan dan belum benar-benar mesra alam. 

Kita mahukan tapak pelupusan sampah yang bersih  walaupun sampah dibuang di situ kita masih boleh duduk, tidur, menjalankan urusan pejabat serta makan dan minum dengan selesa tanpa sebarang bau yang mengganggu.” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya dalam ucapannya berpesan kepada semua Ahli Majlis yang baharu dilantik agar memainkan peranan sebagai penggubal dasar dan polisi di peringkat daerah yang memastikan pembangunan seimbang di Putatan.  

“Putatan merupakan daerah yang pesat membangun dan bersempadan dengan kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Majoriti kawasan di Putatan terdiri daripada kawasan perumahan sama ada kampung mahupun perumahan yang terancang, selain kawasan pentadbiran, komersial dan industri.  

“Aspek-aspek ini perlu diambil kira agar pembangunan di Putatan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar buat rakyat. Penduduk Putatan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti masyarakat kampung, golongan pertengahan, penjawat awam dan sektor korporat.  

“Begitu juga dengan keadaan perniagaan yang ada di Putatan. Oleh itu, rangkalah dasar yang menyeluruh bagi meningkatkan kualiti hidup serta memastikan pembangunan yang seimbang,” jelasnya.  

Hadir sama, Pengerusi Khazanah Teknologi Sdn. Bhd, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Timbalan Setiausaha  Tetap I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Stanley Chong serta Pengerusi Majlis Daerah Putatan, Masawi Salleh.-Penerangan.

Joachim ketika ditemui media.
Joachim (empat dari kiri) ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang ahli Majlis Daerah Putatan.