Aset TLDM di Sabah ambil bahagian dalam LIMA’25

KOTA KINABALU: Beberapa aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah turut mengambil bahagian dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi Edisi Ke-17 (LIMA’25) mulai 20 Mei ini.
Menurut Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris aset tersebut merangkumi empat buah kapal, dua buah helikopter serta sebuah kapal selam dalam pameran selama lima hari untuk acara tahunan yang berprestij itu.
“TLDM akan menghantar empat buah kapal dan dua buah helikopter ke Langkawi iaitu Kapal Diraja (KD) Kelantan, KD Selangor, KD Rencong dan KD Sundang untuk pameran.
“Selain itu, dua buah helikopter akan ke Langkawi dan sebuah kapal selam juga akan dipamerkan di sana nanti,” jelas beliau.
Ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Junaidi berkata kunjungan tersebut bertujuan untuk memberi taklimat sekali gus menjemput Tun Musa ke LIMA’25.
“Sempena ulang tahun TLDM ke-91 yang disambut pada 27 April yang lepas, kami ingin memaklumkan dan menjemput Tuan Yang Terutama Tun hadir ke pameran LIMA.25 di Langkawi yang akan diadakan pada 20 hingga 24 Mei,” ujarnya.
Junaidi yang mengambil alih tugas Panglima Armada Timur sejak November lepas diiringi Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Yusne Mokhtar turut menyatakan komitmen kepada kerajaan Sabah dalam aspek keselamatan rakyat serta perairan negeri ini.
“Kami ingin menzahirkan kerjasama di antara TLDM dan kerajaan Sabah dan juga kepada Tun Musa dan juga mengucapkan terima kasih kepada Tun kerana atas segala bantuan-bantuan dan kerjasama yang telah diberikan bersama dengan TLDM.
“Kami juga menzahirkan kepada Tun bahawa TLDM akan sentiasa berada di Sabah ini untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terutama perairan Sabah,” katanya.-Penerangan

CENDERAMATA … Junaidi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa.