Oleh FARDY BUNGGA
LAHAD DATU: Dua lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai cuba menyeleweng 6 tan minyak sawit mentah (CPO) dalam operasi di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 3.50 petang itu, semua minyak sawit mentah yang dirampas dianggarkan bernilai RM114,800 termasuk kenderaan yang digunakan.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, ketika serbuan dijalankan, pasukan operasi mendapati bahan mentah berkenaan sedang dalam transaksi pemindahan minyak.
Katanya, pemindahan minyak sawit berkenaan dilakukan oleh dua lelaki tempatan berusia 30 dan 43 tahun.
“Kedua-dua suspek dikesan sedang memindahkan minyak sawit daripada tangki kepada tong drum yang terdapat di belakang muatan lori.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM114,800 dan semua barangan terus dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kedua-dua suspek turut ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 5(1)(b) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
