SETIAP 16 Mei, laungan ‘Selamat Hari Guru’ bergema di seluruh negara. Setiap sekolah meraikan sambutan Hari Guru sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru.
Hari ini, kita raikan sosok yang sering kali dilupakan setelah dewasa. Guru, bukan sekadar pendidik, tetapi insan yang menanam jiwa, bukan sekadar ilmu.
Pada tahun 2025 ini, tema hari guru iaitu ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ bukan hanya sekadar slogan tetapi satu kenyataan yang menggambarkan realiti sebenar para pendidik yang merupakan nadi penggerak pembaharuan dan perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Gurulah yang pertama mengaplikasikan dan menyesuaikan diri dengan dasar baharu.
Merekalah yang menjadikan transformasi kepada realiti di bilik darjah. Sama ada melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan murid, integrasi teknologi, pembinaan karakter atau pemikiran kritis dalam kurikulum, guru tetap kekal menjadi pemacu utama reformasi itu, dengan ilmu, keikhlasan dan jiwa yang besar.
Ramai yang memandang guru dalam lensa yang sempit. Guru dianggap sebagai penyampai fakta, penjaga anak-anak murid dalam kelas, atau sebagai pekerja yang paling banyak cuti dalam setahun.
Masa balik kerja pun lebih awal berbanding bidang pekerjaan yang lain. Hakikatnya, tanggungjawab guru jauh lebih luas dan lebih berat daripada yang sering kita lihat.
Guru bukan sahaja mengajar berdasarkan silibus yang disediakan, tetapi membimbing tentang adab, akhlak dan nilai.
Mereka membentuk cara kita berfikir, mengajar kita membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Guru ibarat ibubapa kepada anak-anak kita ketika di sekolah.
Mereka tidak hanya melahirkan pelajar pintar, tetapi memantau dan membina manusia yang berprinsip dan bercita-cita tinggi. Gurulah orang pertama yang melaporkan kepada ibubapa jika anak-anak tidak sihat.
Gurulah yang pertama sedar dengan perubahan emosi dan psikologi anak-anak disebabkan ibubapa terlalu sibuk dengan kerjaya.
Walaupun begitu, didikan keras guru-guru sering disalah anggap oleh ibubapa.
Lihatlah mereka yang berjaya sekarang, jika ditanya pasti ada sahaja kisah yang tidak mungkin dilupakan ketika di bangku sekolah.
Setiap daripada kita, ada seorang dua guru yang kita masih ingat. Mungkin kerana marahnya yang menyedarkan. Mungkin kerana nasihatnya yang memberi kesan dan menenangkan.
Mungkin kerana satu baris ayat, ‘Saya percaya kamu boleh!’ yang menjadi titik tolak perubahan dalam hidup kita. Ketegasan dan kelembutan guru bukan sahaja memandaikan masyarakat tetapi mampu menjentik hati kita untuk mengubah corak pemikiran dan nasib keluarga.
Kita mungkin terlupa bahawa guru bukan robot berprogram. Mereka adalah manusia biasa yang mengambil masa keluarga di rumah demi menyemak latihan murid-murid.
Ada yang terpaksa membiarkan anak sendiri tidak berteman di wad hospital kerana membawa rombongan murid membuat lawatan sekolah.
Ada juga guru yang melangkah masuk ke kelas walaupun sedang demam, kerana jika mereka tiada pelajaran terpaksa ditangguh.
Ada yang sanggup bersabar kerana terasa hati dengan murid yang kurang ajar, tetapi mereka tetap percaya setiap murid berhak mendapat peluang kedua.
Lebih menyentuh hati, pengorbanan mereka tidak terhenti di dalam waktu persekolahan sahaja.
Walaupun cuti sekolah sering dianggap sebagai masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, bagi guru cuti sekolah bukanlah sekadar masa untuk bercuti sepenuhnya.
Di sebalik keheningan sekolah yang sepi tanpa murid, guru-guru tetap bekerja walau tanpa sorakan dan perhatian.
Musim cuti sekolah, guru-guru sibuk menghias kelas demi mencipta suasana pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan.
Ada yang mengangkat meja dan menyapu sawang, seperti seorang tukang kebun yang ingin memastikan taman ilmunya bersih dan cantik.
Itu belum lagi kos-kos yang terpaksa dikeluarkan sendiri demi melihat anak didik selesa belajar.
“Kadang-kadang gaji belum masuk tapi kena keluar duit sendiri beli kain langsir, hiasan dinding dan lain-lain. Semua tu amal jariah sahaja,” kata seorang guru di sebuah sekolah di Tanjung Aru.
Kata-kata itu bukanlah satu keluhan tetapi cerminan keikhlasan seorang guru yang tidak pernah berkira untuk anak bangsa.
Guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas. Mereka juga menghadiri kursus, bengkel dan mesyuarat di luar waktu persekolahan, menyemak semula silibus, menyusun jadual dan strategi demi memastikan murid-murid tidak sekadar belajar, tetapi belajar dengan terarah dan bermakna.
Pengorbanan ini sering tidak kelihatan, tidak difahami dan lebih menyedihkan tidak dihargai.
Di sebalik semua itu, mereka tidak minta dibalas. Cukuplah anak murid mereka berjaya. Namun lebih indah jika masyarakat berhenti menilai guru sekadar daripada gaji dan waktu cuti.
Kita harus melihat guru sebagai penjaga masa depan bangsa, yang bekerja dalam senyap tetapi impaknya sehingga bertahun-tahun lamanya.
Pernahkah kita bertanya, mengapa guru masih bertahan walau dihimpit tekanan sistem, kerja bertimbun dan penghargaan yang kadangkala hambar?
Jawapannya mungkin terletak pada jiwa. Jiwa mendidik itu bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Ia hadir daripada keikhlasan dan keikhlasan itulah yang menjadikan setiap kata mereka terkesan dalam hati kita sehingga hari ini.
Hari ini, ketika kita berdiri sebagai seorang dewasa, sebagai pemimpin, penjawat awam, usahawan atau ibu bapa, marilah sama-sama kita imbas kembali jalan yang pernah kita lalui.
Di sepanjang jalan itu, pasti ada tangan seorang guru yang pernah memimpin kita. Bukan semua guru dikenang dengan nama. Tetapi jasa mereka tetap kekal dalam jiwa.
Justeru, pada Hari Guru ini marilah kita sama-sama hulurkan lebih daripada sekadar ucapan.
Hulurkan penghargaan. Buktikan dalam kehidupan kita bahawa apa yang ditanam oleh mereka telah tumbuh menjadi manusia yang tahu erti hormat, tanggungjawab dan kasih sayang.
SELAMAT HARI GURU. Terima kasih untuk setiap titik peluh yang tidak terlihat, untuk setiap doa yang tidak didengar, untuk setiap pengorbanan yang tidak pernah mengharapkan balasan.
Terima kasih kerana tidak pernah jemu mendidik, menjadi cahaya dalam gelap, menjadi suara harapan ketika semua orang memilih diam.
Oleh,
HARTINI TAMAN
8 MEI 2025


dan mana yang salah. Guru ibarat ibubapa kepada anak-anak kita ketika di sekolah.
(Gambar Hiasan).








