KOTA BELUD: Penduduk Kampung Koduko dalam kawasan Usukan P.169 Kota Belud, minta jasa baik pihak berkenaan agar menumpukan perhatian serius kepada pembangunan infrastruktur khususnya bagi perkampungan Koduko.
Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Kg Koduko, Samion Lunggan berkata, pembangunan infrastruktur yang mereka perlukan, termasuklah menaikkan taraf jalan raya, bekalan eletrik dan air bersih.
“Kami juga perlukan dewan serbaguna, supaya apabila kami mengadakan majlis seperti Pesta Kaamatan atau apa juga majlis yang berkaitan dengan kemasyarakatan, tidaklah kami mengadakannya di bawah dua pohon pokok besar ini, seperti hari ini,” katanya kepada media pada sambutan Pesta Kaamatan Kg Koduko, kira-kira 25 kilometer dari pekan, di sini, baru-baru ini.
Pesta Kaamatan yang diadakan sehari di tepi laut Koduko itu telah dirasmikan oleh Pemimpin Kemajuan Masyarakat DUN Kadamaian, Juin Kolod.
Beliau yang juga mewakili Wakil Rakyat Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia berkata, segala perkara yang diperlukan masyarkat penduduk Kg Koduko itu, akan dikemukan kepada pengetahuan menteri berkenaan.
“Apapun kita minta kepada pemimpin masyarakat Kg Koduko supaya membuat surat permohonan mengenai pembangunan infrastruktur berkenaan, kemudian surat permohonan itu kita akan hantar kepada pihak berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kg Koduko kali ke tiga berkenaan.
Juin berkata, beliau yakin bahawa, kerajaan sememangnya tidak akan mengetepikan atau meminggirkan rakyatnya daripada keperluan asas seperti pembangunan infrastruktur di luar bendar.
Katanya, semuanya ini memerlukan kesabaran seperti petani sabar menunggu hujan turun sehingga kita dapat mengadakan perayaan Kaamatan setiap tahun.
Difahamkan, Sabah masih dibelenggu tiga masalah asas utama meliputi akses jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.
Malah, terdapat kawasan di Sabah yang jalannya masih tidak berturap selain banyak kampung-kampung yang masih tiada bekalan elektrik dan air bersih.
Menururt suara rakyat Sabah, mereka merayu dan meminta kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya fokus untuk membangunkan negeri Sabah.
Sabah memerlukan pembangunan yang fokus.
Menyentuh mengenai makna perayaan Pesta Kaamatan, perayaan ini berkait rapat dengan penanaman padi yang merupakan tanaman utama di Sabah.
Pesta Kaamatan menandakan kitaran akhir penanaman dengan kata lain masa untuk penuaian.
Para petani sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada roh dan Tuhan kerana memberkati mereka dengan hasil lumayan dan berdoa agar Tuhan akan memberkati mereka dengan hasil yang lumayan pada tahun berikutnya.
Kaamatan yang dihadiri hampir 200 orang penduduk itu, telah diadakan dengan pelbagai acara gotong royong, sukan laut, tarik tali dan pementasan.
Turut hadir, Ketua Pemuda UPKO Kota Belud Jolyhem Saran, WKAN Souman Zitun, Presiden ASI Sabah Datuk Dr. Saiman Sandah, Pastor daerah Kelawat, Kota Belud Pr. Wilborn Gondolos, Pr. Daerah Kinasaraban, Kota Belud, Pr. Severinus Umpok dan AJK Bahagian UPKO, Kota Belud, Maikat Gindara.-Oleh Gindanau Sakat.







