TUARAN: Mantan Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sulaman, Halmi Rajin telah menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
PBRS merupakan satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah.
Ketua Penyelaras KDM DUN Pantai Dalit, Jaesman Gipin dan ahli jawatankuasa KDM Pantai Dalit menyaksikan penyerahan borang keahlian Halmi dan rakan-rakannya di pejabat KDM di Tamparuli Point dekat sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, Halmi turut menyerahkan 148 borang keahlian lain, sekali gus menandakan secara rasmi keterlibatan beliau di dalam Parti KDM bahagian Tuaran.
Berikutan penyertaannya ke dalam KDM, Halmi telah dilantik sebagai Setiausaha Penyelaras KDM DUN Pantai Dalit.
Halmi berkata, beliau dan penyokongnya memilih untuk menyertai KDM kerana yakin hala tuju perjuangan parti tempatan KDM.
Beliau juga bertekad untuk membantu KDM meraih sokongan rakyat, khususnya di kawasan DUN Pantai Dalit.
Halmi berkata, jika semua pihak dapat bekerjasama menggembling tenaga untuk membantu memperkuatkan jentera KDM di DUN Pantai Dalit, KDM mungkin boleh melakukan kejutan pada PRN yang dijangka diadakan tidak lama lagi.-JT








