Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang warga emas berusia 80 tahun dan cucunya rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di Kampung Pulau Penampang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, rumah berkenaan dihuni oleh enam sekeluarga namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
Mangsa Ruslia@Gisis Guntamas, ditemui meninggal dunia bersama cucu perempuannya Joeynita Abdul Alip, 14 tahun selepas api berjaya dipadamkan.
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.22 pagi.
Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai termasuk pasukan bantuan dari BBP Lintas bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal di Lorong Gusin 3, yang terbakar hampir 90 peratus.
“Pasukan bomba terus melaksanakan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.55 pagi,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, makluman dari penghuni rumah, dua orang mangsa iaitu seorang wanita warga emas dan seorang remaja perempuan telah terperangkap di dalam rumah tersebut.
Katanya, sebaik api dipadamkan, mangsa pertama berjaya ditemui pada jam 7.13 pagi sebelum cucunya dikeluarkan 20 minit selepas itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika ditemui di lokasi berkata, mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospita Queen Elizabeth I (HQEI) untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, pihaknya masih menunggu laporan lanjut daripada Pasukan Forensik Bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian.









