Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bakal melancarkan Jelajah ‘Sabah First’ yang akan diselaraskan bersama konvensyen parti peringkat bahagian sebagai langkah memperkukuh serta memaklumkan pendirian parti kepada akar umbi.
Ketua Penerangan UPKO, Dr. Peter Jr Naintin, berkata cadangan pelaksanaan jelajah tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang dijadualkan berlangsung esok (hari ini), 5 November.
Katanya, program jelajah itu akan memberi penekanan terhadap penjelasan mendalam mengenai pendirian UPKO berhubung keputusan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Keputusan tersebut mengiktiraf hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“UPKO bukan sekadar menghormati, malah menyambut dengan penuh semangat keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi itu, yang menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu mengembalikan hak Sabah seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Dr. Peter turut menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi serta ahli-ahli UPKO sepenuhnya menyokong pendirian Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
“Pendirian ini bukan retorik. Kami teguh bersama Presiden kami, dan sedia mengambil langkah berani demi mempertahankan hak Sabah,” tegas beliau.
Dr. Peter berkata, jelajah ‘Sabah First’ juga akan dijadikan platform memperkasakan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri akan datang.
“UPKO akan menghadapi pilihan raya dengan semangat ‘Sabah First’ yang teracu dalam Perlembagaan parti — semangat yang berdiri atas dasar memperjuangkan pelaksanaan MA63 serta menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah ini akan memperkukuh kesatuan ahli dan penyokong, di samping memperjelaskan hala tuju UPKO sebagai parti yang konsisten mempertahankan kepentingan dan masa depan Sabah,” katanya.





