Jika benar ada salah tadbir urus – Suhaimi
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa sekiranya wujud sebarang bentuk salah tadbir urus atau penyalahgunaan kuasa dalam Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), maka Kerajaan Negeri perlu bertindak tegas dan segera melakukan rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan serta struktur pentadbirannya.
Beliau berkata, institusi agama seperti MUIS bukan sekadar badan pengurusan, tetapi merupakan amanah besar yang bersumberkan tanggungjawab syariah dan moral, bagi menjaga kepentingan umat Islam di Sabah termasuk urusan zakat, wakaf, dan pembangunan ummah.
Katanya, dalam Islam, tadbir urus yang adil dan telus adalah satu bentuk ibadah. Firman Allah SWT surah Al Anfal Ayat 27 :
“Wahai kamu orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya serta janganlah kamu mengkhianati amanah – amanah yang diserahkan kepada kamu sedangkan kamu mengetahuinya”
“Maka, sebarang pelanggaran amanah bukan hanya kesalahan pentadbiran, tetapi pengkhianatan terhadap tanggungjawab agama,” katanya.
Suhaimi berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh berdiam diri atau bersikap defensif dalam isu yang melibatkan integriti institusi Islam.
“Jika ada bukti salah tadbir, tindakan mesti diambil bukan sekadar siasatan dalaman, tetapi reformasi struktur dan pengukuhan sistem audit yang lebih telus.
Umat Islam Sabah berhak melihat MUIS menjadi contoh tadbir urus yang bersih, amanah dan berintegriti bukan tempat perlindungan kepada kepentingan politik atau peribadi,” tegasnya.-JT





