Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina maut selepas dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah bot nelayan dalam kejadian di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam Isnin.
Mangsa hanya berjaya ditemui pada jam 10.20 pagi semalam oleh pasukan bomba yang melakukan selaman operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.37 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba bersama jentera terus dikejarkan ke lokasi untuk membantu.
“Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari kapal yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.
“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian cuba mencarinya namun usaha berkenaan gagal menemukan mangsa sebelum meminta bantuan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi pencarian di permukaan air sekitar lokasi kejadian namun terpaksa ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap.
Katanya, operasi disambung semula dengan menggunakan bot penyelamat bomba sebelum mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Darikson berkata, operasi yang membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat serta bantuan beberapa agensi lain itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.

LEMAS …. Beberapa anggota agensi pihak berkuasa membantu mengangkat mangsa.




