Sabah perkasa bahasa kebangsaan hadapi cabaran AI

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam mendepani cabaran era digital dan kecerdasan buatan (AI), termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam serta memperkukuh pematuhannya dalam urusan rasmi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu turut meliputi pemerkasaan seni pantun dan tulisan Jawi, penyelidikan bahasa serta sastera etnik, selain pengembangan industri buku yang mengetengahkan karya penulis tempatan Sabah.
“Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di sini.
Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat yang memiliki jati diri kukuh dan identiti tersendiri.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan DBP dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan menerusi pelbagai kegiatan, penyelidikan serta penerbitan.
Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk karya yang mengetengahkan identiti dan keunikan tempatan, di samping membimbing bakat penulis muda serta mempergiat penyelidikan dan pendokumentasian bahasa dan etnik tempatan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri, DBP, agensi berkaitan dan persatuan penulis perlu terus diperkukuh bagi menjadikan Sabah sebagai negeri teladan dalam pembudayaan ilmu, pengembangan kesusasteraan dan pemartabatan bahasa kebangsaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera perlu dipergiat melalui penganjuran pelbagai kegiatan bahasa dan sastera yang mampu menyemarakkan budaya membaca, penulisan serta apresiasi karya tempatan.
Hajiji turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang merangkumi wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi dan pemantapan seni berpantun.
Beliau menegaskan bahawa generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing, namun usaha itu tidak seharusnya mengetepikan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan lambang identiti negara.
“Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi di pelbagai platform media sosial, jiwa dan semangat untuk mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah terus dipupuk.
“Dalam ruang kebebasan bersuara melalui pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan penggunaan bahasa yang baik,” katanya.
Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata, tema itu selari dengan semangat Bahasa Jiwa Bangsa yang mengingatkan masyarakat bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya mencerminkan identiti, jati diri, pemikiran dan keperibadian sesuatu bangsa.
Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan yang indah, tepat, beradab dan bersopan turut mencerminkan kematangan serta maruah bangsa yang bertamadun, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati dan keyakinan.
Beliau berkata, perpaduan kaum dapat diperkukuh melalui penggunaan bahasa kebangsaan secara berhemah dengan tetap menghormati kepelbagaian kaum dan etnik, manakala penulisan, sastera serta media kreatif berupaya menjadi wadah untuk menyemarakkan daya cipta dan membentuk masyarakat berilmu.
Dalam konteks Sabah, katanya, kepelbagaian etnik, budaya dan dialek merupakan kekayaan yang perlu dipelihara, manakala bahasa kebangsaan berperanan menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni.
Bahasa Melayu menjadi wahana penyatuan yang membolehkan rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang kaum berkomunikasi, saling memahami dan bekerjasama dalam semangat muhibah.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermaksud mengetepikan atau meminggirkan bahasa ibunda serta kepelbagaian bahasa etnik yang menjadi sebahagian daripada warisan berharga Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk terus memperteguh tekad menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Hajiji menyampaikan wakaf buku terbitan DBP kepada Galeri Polis Sabah pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, pada Selasa.