Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Komitmen SKG Green Sdn Bhd dalam melaksanakan program pemuliharaan orang utan terus mencuri perhatian sempena sambutan World Orangutan Day 2025 yang berlangsung di Zoo Taiping dan Night Safari, Perak, baru-baru ini.
Acara yang diadakan hujung minggu lalu itu menghimpunkan pakar pemuliharaan, agensi hidupan liar serta orang awam bagi meraikan usaha Malaysia dalam melindungi salah satu spesies kera besar paling terancam di dunia.
SKG Green, anak syarikat Sawit Kinabalu, mempamerkan inisiatif konservasinya di Sungai Pin Conservation Area (SPnCA), Kinabatangan, termasuk pemasangan jambatan kanopi yang membolehkan orang utan bergerak dengan selamat di antara petak hutan yang terpisah merentasi Sungai Pin.
Walaupun teknologi jambatan kanopi bukan baharu, ia terus menarik perhatian pengunjung yang ingin mengetahui peranannya dalam menyambung semula habitat terfragmentasi, sekali gus memudahkan pergerakan hidupan liar di kawasan ladang.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada kira-kira 55 ekor orang utan yang menghuni kawasan hutan seluas 2,632 hektar di SPnCA, selain turut digunakan spesies arboreal lain seperti monyet probosis dan kera.
Ruang pameran SKG Green menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, termasuk wakil agensi kerajaan dan organisasi pemuliharaan. Delegasi lima ahli syarikat itu diketuai Pengurus Kanan Konservasi dan Biodiversiti, Charis Saliun.
Charis berkata beliau turut berkongsi perkembangan pemuliharaan SKG Green bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF).
“Ia merupakan peluang bermakna untuk menunjukkan bagaimana kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan pemuliharaan mampu memberikan impak sebenar dalam melindungi hidupan liar seperti orang utan,” katanya.
Beliau berkata SPnCA turut menjadi sebahagian daripada Program Diplomasi Orang Utan, inisiatif yang diterajui MPOGCF bersama Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB) bagi memastikan pergerakan bebas orang utan dalam habitat semula jadi tanpa gangguan aktiviti manusia atau perladangan.
Inisiatif itu diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOGCF dan BSSB yang dimeterai awal bulan ini di SPnCA.
“Pengiktirafan kawasan ini sebagai Kawasan Bernilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) mengesahkan kepentingannya sebagai habitat perlindungan orang utan dan spesies terancam lain,” jelas Charis.
Menurut beliau, kerjasama berterusan dengan MPOGCF dan Sawit Kinabalu juga memfokus kepada pengukuhan koridor hidupan liar, sokongan penyelidikan ekologi serta peningkatan kesedaran biodiversiti dalam kalangan komuniti setempat.
“Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin mencerminkan usaha bersama memelihara biodiversiti, memperkasa komuniti tempatan dan memastikan warisan semula jadi Sabah terus lestari,” tambahnya.
Hari Orang Utan Sedunia disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak melindungi orang utan di Borneo dan Sumatera, di mana kehilangan habitat akibat pembangunan kekal sebagai ancaman utama spesies ini.





