Saman dikelurkan kepada pemandu halang lalu lintas di kawasan Aeropod, Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman terhadap pemandu yang menghentikan kenderaan di tepi jalan hingga menghalang lalu lintas di laluan bertingkat Aeropod dan kawasan Pantai Tanjung Aru.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tindakan pemandu memberhentikan kenderaan di laluan berkenaan adalah satu kesalahan.
“Sebenarnya tidak dibenarkan mereka ini berada di sana (laluan bertingkat Aeropod) untuk ‘healing’ dengan menghentikan kenderaan tepi jalan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Kita tidak benarkan dan tindakan akan ambil selepas ini. Tiada lagi pengusiran dan tindakan saman akan dilakukan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Kasim berkata, begitu juga dengan pengunjung-pengunjung di Pantai Tanjung Aru untuk melihat matahari terbenam.
“Polis nasihatkan pengunjung-pengunjung di Pantai Tanjung Aru supaya mereka tidak parkir di tepi-tepi jalan di Pantai Tanjung Aru.
“Kita minta pengunjung supaya meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menempatkan anggota trafik di dua kawasan berkenaan terutama pada hari cuti bagi mengelak berlaku kesesakan teruk.
“Kita ingatkan lagi kepada pengunjung-pengunjung tiada lagi pengusiran tetapi tindakan saman akan dikenakan kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan di tepi laluan bertingkat Aeropod dan Pantai Tanjung Aru,” katanya. -FB

SIDANG MEDIA …. Kasim Muda ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.