PPM rampas barang kosmetik seludup

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas pelbagai barang kosmetik yang dipercayai diseludup masuk tanpa kebenaran di perairan Pulau Mataking, di sini.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, dua lelaki berusia 49 dan 52 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Semua barangan bernilai RM153,872 itu dirampas selepas dipercayai tidak mempunyai sebarang kelulusan menyimpan atau menjual daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi menahan sebuah bot selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan pada jam 12.20 tengah malam.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya merampas 36 kotak yang mengandungi pelbagai barangan kosmetik.
“Juragan gagal menunjukan sebarang dokumen yang sah dan digunapakai sebagai pemilikan, kebenaran berdaftar, resit belian dan pengunaan barang.
“Seterusnya dua lelaki yang berada di atas bot berkenaan terus ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, semua barang-barang kosmetik yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara Filipina ke Malaysia turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut turut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam.

DITAHAN …. Dua suspek ditahan bersama 36 kotak berisi pelbagai barangan kosmetik.