Penggunaan EM berkesan hapus bau berterusan di Pasar Besar Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Penggunaan Teknologi Mikroorganisma (EM) memberi kesan berkualiti untuk menghapuskan bau yang berterusan di Pasar Besar Kota Kinabalu, kata Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (SEPA) Alexander Yee.
Sehubungan itu katannya, SEPA, telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mengenai keberkesanan teknologi berkenaan untuk digunakan bagi mengatasi masalah bau di Pasar Besar Kota Kinabalu.
“Teknologi Mikroorganisma jenama dari Jepun ini mampu menghapuskan bau berterusan selama tiga bulan.
Ini merupakan peluang yang baik untuk bekerjasama dengan KePKAS dalam usaha meningkatkan tahap udara yang baik dan kebersihan di pasar besar berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal Feri Jesselton Point.
Alexander berkata, langkah itu susulan kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew pada April tahun ini, di mana kami membincangkan hasrat SEPA untuk memperbaharui hubungan kerja sebagai rakan kongsi dengan KePKAS untuk manfaat bersama.
“Kami digalakkan oleh Menteri untuk memainkan peranan proaktif dalam menjaga kebersihan di ibu negeri bagi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Alexander berkata, beliau mengetuai sepasukan anggota EXCO dari SEPA melawat beberapa tapak di Kota Kinabalu termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, sebelum mencadangkan sebarang penyelesaian.
“Pasar Besar KK juga adalah kawasan tumpuan pelancong, oleh itu penting untuk memastikan tempat ini bersih dan kemas,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengalaman, SEPA yakin pelaksanaan Teknologi EM di Pasar Besar KK akan membuahkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga bulan.-JT

TINJAUAN … Yee (kanan) bersama Agnes (kiri) Margaret (dua kiri) dan Benjamin semasa membuat tinjauan bermula dari bangunan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).