RANAU: Seorang lelaki maut selepas dihempap jentera jengkaut ketika menjalankan kerja pembaikan di Kampung Montoki, Kundasang.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di bawah jentera berat berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati mangsa tersepit di bawah jentera jengkaut ketika sedang melakukan kerja pembaikan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Rantey berkata, selepas memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.57 petang.







