Dalam usaha selesaikan isu air di UMS – Shahelmey
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) telah menyelaras beberapa siri perbincangan antara Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk lawatan tapak ke UMS dalam usaha untuk menyelesaikan isu air di universiti berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, melalui perbincangan-perbincangan tersebut, JANS dan UMS telah bersetuju untu berkerjasama baik dari aspek teknikal dan juga komunikasi.
Beliau berkata, bagi menghadapi kekangan-kekangan luar seperti kecurian air, kerja-kerja pemasangan paip yang belum selesai dan faktor-faktor lain, KKRS meminta JANS dan UMS untuk bekerjasama dengan lebih rapat lagi agar isu air ini dapat diselesaikan dan diminimakan serta akan memberi manfaat kepada warga UMS khususnya.
“JANS juga komited akan berusaha memastikan jumlah air yang masuk ke tangki R13 dalam keadaan yang mencukupi dan konsisten serta akan bekerjasama dengan pihak UMS berkenaan dengan pengoperasian pam,” katanya.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa indikator sedia ada di tangki R13 telah pun diganti dan pemasangan indikator digital yang telah ditempah (menunggu penghantaran) juga akan dipasang di tangki tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan isu air di UMS, di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR), Sembulan dekat sini.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, UMS juga perlu memastikan agihan air dalam kawasan UMS dalam keadaan yang teratur dan baik.
“JANS juga bersedia untuk memberi kerjasama dan juga panduan dalam pengendalian agihan air dalaman UMS sekiranya diperlukan,” katanya.
Shahelmey berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui JANS sedang melaksanakan pemasangan paip Telibong II Fasa II yang dijangka siap menjelang hujung Jun / awal Julai untuk kawasan Sepanggar.
Katanya, adalah diharapkan apabila kerja-kerja pemasangan paip tersebut siap, agihan air ke kawasan sepanggar akan menjadi lebih baik dan masalah bekalan air akan dapat diminimakan.
Sidang media itu turut dihadiri Naib Cancelor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor; Timbalan Naib Cancelor UMS (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Ridhwan Roger Linus dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Chee Chun Chieh.





