KOTA KINABALU: Sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Persatuan Setiausaha Sabah (SAS) dijangka akan diadakan pada Julai depan.
Menurut Presiden SAS Datin Belinda Brigid Banding, antara aktiviti yang akan dijalankan ialah penyampaian sumbangan kepada badan kebajikan terpilih oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin yang juga Penaung persatuan terbabit.
“Sempena ulang tahun ke-50 penubuhan persatuan, pelbagai aktiviti akan diadakan antaranya menyampaikan sumbangan kepada badan kebajikan yang terpilih dan acara kemuncak sambutan tersebut ialah makan malam sempena ulang tahun ke-50 SAS di mana Toh Puan merupakan tetamu kehormat pada acara tersebut,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Toh Puan Faridah di Istana Seri Kinabalu.
Jelas Belinda, kunjungan berkenaan bertujuan memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa SAS kepada Toh Puan Faridah, selain memaklumkan perancangan aktiviti persatuan itu.
Belinda berkata SAS merupakan gabungan setiausaha-setiausaha yang berkhidmat di sektor awam persekutuan, negeri dan juga swasta di Sabah.
“Pada awalnya, persatuan ini hanya disertai oleh 63 orang ahli sahaja namun saban tahun jumlah keahlian bertambah dan sehingga kini SAS mempunyai lebih 100 orang ahli yang berdaftar.
“Tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah bertujuan menghimpunkan setiausaha-setiausaha yang terdapat di seluruh negeri Sabah selain membantu para ahli dalam membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar mutu perkhidmatan mereka akan lebih baik.
“Kita juga mengalu-alukan kepada setiausaha-setiausaha di Sabah agar menjadi ahli persatuan tanpa mengira usia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Belinda turut berharap semua setiausaha agar mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bagi berhadapan kemajuan teknologi Artificial Intelligence (AI).
“Penggunaan AI dalam dunia kesetiausahaan amat baik namun mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap teknologi tersebut.
“Mereka hendaklah memahami dan sentiasa melakukan semakan terlebih agar hasil kerja yang dihasilkan lebih bermutu,” tambah beliau.-Penerangan.








