GRS akan putuskan hala tuju selepas dengar suara rakyat

TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata setakat ini GRS belum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan bekerjasama dengan UMNO.
Katanya, kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengatakan UMNO akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN Sabah, adalah pandangan peribadinya saja.
“Pada saya, kenyataan itu hanya pandangan peribadi beliau. Namun, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, GRS belum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi.
“GRS akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan hala tuju gabungan ini. Sudah tentu kita akan mendengar denyut nadi rakyat dan pandangan akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan penting,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan 23 ekor lembu di lapan pusat Daerah Mengundi (PDM) Apas, di sini.
Mengulas lanjut, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan GRS-PH Plus ketika ini telah menunjukkan prestasi positif sejak mengambil alih pentadbiran.
Katanya, Kerajaan Negeri kini giat membangunkan infrastruktur, menyelesaikan isu legasi yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu serta terus membela kebajikan rakyat.
“Kerajaan GRS menunjukkan konsistensi dalam pentadbiran dan banyak pencapaian yang telah dilaksanakan, termasuk menyelesaikan masalah infrastruktur, pembangunan luar bandar, pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Inilah yang perlu kita kekalkan kerana kita mahu pastikan Sabah menjadi negeri yang maju dan rakyatnya terbela,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negeri.
“Fokus kita kini ialah meneruskan agenda pembangunan dan memastikan Sabah berada pada landasan yang betul.
“Biarlah pimpinan GRS membuat keputusan berdasarkan rundingan dan semangat kebersamaan,” katanya.
Menurutnya, apa jua keputusan berhubung kerjasama politik menjelang PRN akan ditentukan secara kolektif oleh pimpinan tertinggi GRS berdasarkan aspirasi rakyat negeri ini.
“GRS adalah gabungan yang matang dan kita tidak buat keputusan ikut emosi atau tekanan pihak luar. Kita akan buat keputusan berpandukan kepada suara rakyat dan demi masa depan Sabah,” katanya.

AGIH …. Nizam ketika mengagihkan lembu kepada pegawai dan anggota Tentera di Kem Kabota, Tawau.