Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) Kasigui di Penampang akan membekalkan lima juta liter sehari (MLD) air terawat menjelang akhir Jun tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setelah beroperasi sepenuhnnya ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air keseluruhan untuk Kota Kinabalu dan Putatan.
Beliau menjelaskan, projek itu yang diusahakan oleh Jetama Sdn Bhd itu mengalami kelewatan selama sebulan daripada jadual asalnya berikutan halangan dalam kerja-kerja konkrit untuk papak utama.
“Pak konkrit itu kini siap dan unit modular sedang dipasang,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sembulan dekat sini pada Khamis.
Shahelmey berkata, Projek itu pada asalnya dijangka siap pada akhir Mei, tetapi ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dari Februari hingga Mei.
Sementara itu, beliau berkata, saluran paip fasa 2 di Telibong 2, dijangka siap pada akhir Jun atau awal Julai, akan membantu menyalurkan air terawat tambahan ke utara Sepanggar dan utara Kota Kinabalu.
“Kami menjangkakan mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk ketiga-tiga kawasan itu apabila beroperasi kelak,” katanya.
Kasigui UWSS adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keselamatan dan mengatasi kekurangan bekalan air, khususnya di selatan Kota Kinabalu dan Putatan.







