SANDAKAN: Kegiatan mencuri kabel dan vandalisme berulang mengakibatkan ratusan lampu jalan di enam laluan utama sekitar bandar ini tidak berfungsi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson, berkata masalah itu turut memberi imej negatif kepada bandar ini serta membebankan pihak berkuasa tempatan yang sering dipersalahkan masyarakat.
“Setiap kali kerja pembaikan dilakukan, lampu hanya bertahan beberapa hari sebelum kembali padam. Pemeriksaan mendapati panel kawalan dibongkar dan kabel tembaga dicuri.
“Kami percaya perbuatan ini dilakukan individu mahir yang memahami sistem kawalan lampu dan disyaki berasal dari kawasan setinggan tertentu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Antara laluan yang sering menjadi sasaran ialah Jalan Lintas Sibuga, Jalan Mangkalinau, Jalan Sungai Batang, Jalan Buli Sim-Sim, Jalan Lintas Utara dan Jalan Batu Sapi.
Menurutnya, setiap kerosakan pada satu panel kawalan boleh menyebabkan lebih 20 lampu jalan terpadam serentak, sekali gus menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, isu itu turut mengundang rungutan awam apabila lampu dipasang tetapi tidak menyala, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap pihak berkuasa.
Mengulas langkah penyelesaian, Walter berkata MPS kini melaksanakan penggunaan lampu solar secara berperingkat serta menyusun semula struktur jabatan kejuruteraan, termasuk pelantikan jurutera khas bagi memantau keadaan lampu jalan.
Beliau turut menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan.
“Jika ternampak individu menggali tiang lampu atau berkelakuan mencurigakan, segera laporkan kepada hotline PDRM di talian 089-212222,” katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Adam Bryan Lee, berkata pencahayaan yang lemah di laluan berbukit dan cerun meningkatkan risiko kemalangan, terutama pada waktu hujan dan malam.
“Keadaan jalan yang tidak rata serta risiko tanah runtuh menambah bahaya apabila tiada pencahayaan mencukupi,” katanya.
Seorang pengurus syarikat swasta, Joseph Hing, pula mendakwa terpaksa menggunakan spotlight ketika memandu dari pusat bandar ke kawasan Sim-Sim yang gelap setiap malam.
“Lampu jalan tidak pernah dibaiki. Situasi ini membahayakan, terutama jika ada pejalan kaki melintas secara tiba-tiba,” katanya.







