Yusof beri keterangan empat jam di pejabat SPRM

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah di sini kelmarin.
Menurut sumber, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu memberi keterangan hampir empat jam.
Selepas memberi keterangan kepada pihak SPRM, beliau dikatakan dilepaskan dengan jaminan.
Yusof dipanggil untuk memberi keterangan dan hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 8.45 pagi.
Beliau kemudiannya dilihat meninggalkan pejabat SPRM di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, pada jam 12.30 tengah hari.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan tiga individu termasuk dua ADUN Sabah akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat berhubung dengan siasatan Op ADUN.
Beliau yang ditemui media semalam selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Pengurusan Lestari (ICTMS) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu mengesahkan perkara itu.
Katanya, SPRM dalam proses untuk menjalankan tangkapan dan memaklumkan individu terbabit mengenai tarikh hadir ke mahkamah.
Bagaimanapun Azam berkata, tarikh pendakwaan bergantung kepada tarikh yang akan ditetapkan kerana Mahkamah Rasuah di Sabah ada tarikh-tarikh tertentu.

YUSOF YACOB