LAHAD DATU: Seorang pelajar cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika melarikan diri daripada sekumpulan anjing liar dalam kejadian berhampiran Kampung Sabah Baru, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden itu yang berlaku pada 16 Jun lalu.
“Menurut laporan yang diterima, mangsa lelaki berusia 13 tahun dalam perjalanan pulang dari bandar Lahad Datu menuju ke Kampung Sabah Baru sebelum dikejar sekumpulan anjing liar.
“Mangsa cuba melarikan diri namun terjatuh, menyebabkan kecederaan di bahagian kiri muka,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa berkaitan terhadap ancaman anjing liar di kawasan terbabit.
Katanya, polis memandang serius insiden sedemikian kerana ia melibatkan keselamatan awam, khususnya pelajar sekolah.








