Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Sebanyak RM7.5 juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di Sabah sejak Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) diperkenalkan pada tahun 2023.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, skim itu adalah khusus untuk golongan usahawan mikro khususnya penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar-pasar dan tamu-tamu seluruh Sabah.
“Ini jelas menunjukkan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong, di perkarangan tamu itu, di sini.
Ewon berkata, sejak TEKUN Nasional ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga April 2025, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.31 bilion kepada 598,969 usahawan.
“Sehingga 30 April 2025, sebanyak RM1.18 bilion telah disalurkan kepada 65,939 usahawan TEKUN di seluruh Sabah.
“Bagi kawasan Parlimen Penampang, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak RM36 juta kepada 1,730 usahawan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Katanya, pada tahun ini sahaja sehingga April 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 36 usahawan bernilai RM634 ribu di Penampang.
“Sebanyak 1,663 pembiayaan berjumlah RM29.9 juta telah diluluskan di seluruh negeri Sabah bagi tempoh yang sama.
“Pembiayaan yang diberikan oleh TEKUN ini bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan usahawan malah secara tidak langsung ia mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar,” katanya.
Mengenai kejayaan promosi dan pembangunan keusahawanan melalui Karnival Tekun MADANI, Ewon berkata, lima siri Karnival TEKUN Madani telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu di Sabah, Selangor dan Pulau pinang.








