KOTA KINABALU : Sambutan kemuncak Regatta Lepa edisi ke-30 Tahun 2025 akan berlangsung Ahad ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata sambutan berkenaan akan diserikan dengan pelbagai pengisian menarik.
“Pada sebelah pagi, antara acara yang akan diadakan termasuk Perarakan Lepa Tradisi yang menghimpunkan perahu berhias penuh warna-warni dan ukiran warisan.
“Selain itu, turut diadakan persembahan khas Strategik pasukan keselamatan yang mempamerkan kecekapan dan kolaborasi antara pasukan beruniform dan komuniti.
“Sementara malam kemuncak yang dinamakan Sangom Mairan akan menjadi malam penuh gemilang dengan pengisian istimewa seperti Majlis Perasmian dan Penutupan Rasmi Regatta Lepa 2025, penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Ratu Lepa dan Pertandingan Lepa Tradisi.
“Malam tersebut juga akan menyaksikan Penobatan Anugerah Tokoh Regatta Lepa 2025 dan persembahan Muzikal teater Umaral 1886 yang mengisahkan lagenda pelaut Bajau serta persembahan koir rakyat, Da Suara.
“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam menyokong dan memperkasakan program berteraskan kebudayaan, sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran dan Sidang Media Regatta Lepa Kali Ke-30 Tahun 2025 di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Christina berkata dalam usaha memelihara adat dan tradisi suku kaum Bajau, beliau bercadang untuk menubuhkan pusat latihan budaya bagi masyarakat Bajau.
“Pusat latihan ini boleh menjadi tempat generasi muda, bukan hanya dari kalangan suku kaum Bajau tetapi semua rakyat Sabah untuk mempelajari adat dan budaya seperti makanan tradisi, tarian tradisi dan juga kemahiran membuat perahu Lepa.
“Dengan adanya pusat latihan seperti ini akan dapat memastikan adat dan budaya ini dapat diajar kepada generasi muda terutamanya kepada kaum Bajau,” tambahnya.
Regatta Lepa Edisi Ke-30 akan berlangsung mulai 24 Jun di Dataran Regatta Lepa Semporna dan Padang Bandar Semporna.-Penerangan.






