Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Seorang lelaki yang menjadi dalang penipuan atas talian sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM13,000 dua tahun lalu, akhirnya berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan penjualan komputer riba dan tablet menerusi laman media sosial facebook.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berada Kuala Penyu mendakwa ternampak iklan menjual komputer riba dan tablet.
“Lelaki terbabit terus menghubungi ‘penjual’ melalui aplikasi Telegram dan diminta membuat transaksi beberapa kali.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu setelah membuat enam transaksi dan terus tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media.
Jasmin berkata, suspek yang kini berusia 23 tahun akhirnya berjaya ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah.
Katanya, hasil semakan menerusi MCAD PDRM mendapati suspek terlibat dengan kes penipuan bersabit laporan polis di Kuala Penyu.
“Polis terus membuat tangkapan ke atas suspek dan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Tawau,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan aktiviti jual beli atas talian.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan sebarang penipuan.






