SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) terus menyokong pembangunan Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) sejak penubuhannya pada 2008.
Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, pusat yang satu-satunya seumpamanya di dunia itu diwujudkan bagi melindungi spesies beruang matahari yang terancam menerusi kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) dan Jabatan Perhutanan Sabah.
“Pada tahun lalu, KePKAS memperuntukkan sebanyak RM228,420 bagi pembinaan fasa satu Foyer Masuk yang kini sudah siap.
“Tahun ini pula, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk fasa dua dan pembinaannya dijangka bermula tidak lama lagi,” katanya selepas lawatan kerja ke pusat terbabit baru-baru ini.
Pusat yang berusia 17 tahun dan kini menempatkan 42 ekor beruang matahari yang diselamatkan, terus menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Saya dimaklumkan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Wong Siew Te bahawa pada 2024, seramai 79,362 pengunjung direkodkan, dengan purata 6,613 pengunjung sebulan.
“Tiga negara tertinggi adalah United Kingdom, Australia dan Itali. Kemuncak kunjungan biasanya berlaku antara Julai hingga Oktober,” katanya.
Pusat ini turut menjadi tumpuan para pendidik, pelajar, penyelidik, pencinta alam semula jadi serta pemulihara hidupan liar.
Christina berkata, ramai yang tidak menyedari bahawa BSBCC juga agensi pelaksana utama kepada Pelan Tindakan 10 Tahun Beruang Matahari Negeri Sabah.







