Pemandu maut tersepit dalam kenderaan remuk

Oleh FARDY BUNGGA


KENINGAU: Seorang pemandu maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Batu 11, Jalan Keningau – Sook, di sini.
Mangsa lelaki berusia 18 tahun itu dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.27 malam.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori dan Perodua Alza.
Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan iaitu pemandu Perodua Alza dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba terus melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan hydraulic power unit ,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahka meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala katanya, pemandu lori terlibat selamat tanpa sebarang kecederaan dan dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.18 malam,” katanya.

OPERASI …. Pasukan bomba melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.