GRS tidak lindungi salah laku

Proses undang-undang mesti dihormati – Nizam

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titinga menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pendirian Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan sesekali mencampuri sebarang siasatan atau pendakwaan yang sedang dijalankan terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau berkata, prinsip ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang, bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik, mahupun kepentingan individu.
Katanya, isu pendakwaan terhadap dua ADUN baru-baru ini adalah bersifat peribadi dan proses undang-undang harus dibiarkan berjalan dengan telus dan adil.
“Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN tersebut setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima, bukannya membuat keputusan terburu-buru mengikut desakan politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Nizam mengingatkan semua pihak bahawa Kerajaan GRS tidak pernah menutup kesalahan, jauh sekali melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku.
“Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk melemahkan Kerajaan Negeri yang sah, stabil dan sedang bekerja keras untuk rakyat.
“Biarlah mahkamah yang menentukan benar atau salah. Setiap individu berhak mempertahankan diri. Kita berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang. Kita wajib berpegang kepada prinsip: seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.
Nizam berkata, Kerajaan Negeri akan terus berfungsi seperti biasa.
“Kami tidak akan goyah dengan cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina. Fokus kami tetap pada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Nizam Titingan