Keutamaan bantu parti menang bukan jadi calon – SU Agung KDM

KOTA KINABALU: Membantu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lebih penting berbanding melobi untuk menjadi calon.
Biarpun ramai yang bertanya dan mencadangkan dirinya untuk bertanding dalam PRN17, namun Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi kekal dengan pendirian untuk membantu parti itu secara keseluruhan terlebih dahulu.
“Keutamaan saya bantu parti dulu, bantu bakal-bakal calon untuk menguatkan kedudukan mereka di kawasan masing-masing, tapi untuk turut jadi calon… itu nanti dulu.
“Saya menyertai KDM kerana yakin dengan perjuangan parti ini untuk rakyat Sabah, bukan semata-mata mahu jadi calon atau mengintai jawatan.
“Apabila saya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan setiausaha agung, saya anggap ia satu tanggungjawab besar yang perlu saya galas dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan akan melakukan yang terbaik untuk parti, terutama dalam persediaan menghadapi PRN17.
“Ini penampilan pertama kami dalam pilihan raya negeri, sudah pasti kami mahukan keputusan yang terbaik,” katanya.
Willie berkata, segala pengalaman yang ada sebagai pengamal media sejak hampir 20 tahun lalu akan digunakannya untuk membantu parti.
Katanya, ‘terjun’ ke gelanggang politik secara serius bukanlah satu keputusan mudah, tetapi demi meneruskan perjuangan rakyat yang selama ini dilakukan menerusi ‘mata pena’.
“Sebelum ini, saya banyak membantu masyarakat dari segi penulisan…dipuji serta dicaci itu perkara biasa, dan kini saya akan teruskan perjuangan membantu rakyat, mungkin dengan pendekatan yang sedikit berbeza,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk turut disenaraikan KDM sebagai calon namun menegaskan ia terserah kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
“Terus terang saya katakan, buat masa ini saya belum berhasrat (menjadi calon) dan memberi keutamaan dalam membantu parti, tapi dalam politik apapun boleh berlaku, mungkin juga (jadi calon) kan?
“Apa yang lebih penting ialah kemenangan parti pada PRN17 nanti, saya yakin KDM kini berada di landasan betul untuk mencipta kejutan,” katanya.
Willie yang kini menetap di Inanam antara individu disebut-sebut untuk menjadi calon KDM di kawasan berkenaan selain ahli perniagaan, Datuk George Guntarik yang kini menjadi Ketua Penyelaras KDM Inanam.
Terdapat juga desas-desus yang beliau akan kembali ke tempatnya membesar iaitu di Keningau untuk menjadi calon di salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

WILLIE JUDE JUNAIDI