Utamakan pendidikan keluarga – Mustapha

KOTA BELUD: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Ts. Mustapha Haji Sakmud menegaskan bahawa pendidikan keluarga harus diutamakan berbanding urusan lain dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, ibu bapa wajib memberikan keutamaan kepada aspek pendidikan anak-anak sebagai asas utama dalam membentuk masa depan yang lebih cerah.
“Selain ibu bapa, kita juga menyeru agar para pemimpin masyarakat bersama-sama menyampaikan mesej penting ini kepada seluruh komuniti, bahawa hanya dengan kesedaran tinggi terhadap nilai pendidikan, barulah masyarakat dapat mengubah taraf hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Kaamatan PKR Cabang Kota Belud 2025 yang berlangsung di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, baru-baru ini.
Tambah beliau, pendidikan merupakan instrumen penting dalam menentukan hala tuju kehidupan anak-anak. Ia membuka peluang luas untuk mendapatkan pekerjaan dan menjamin masa depan yang lebih teratur.
“Saya ingin mengingatkan ibu bapa agar bijak menyusun dan merancang masa depan anak-anak. Jangan biarkan pendidikan mereka tidak menentu tanpa hala tuju.
“Perancangan yang baik terhadap setiap aktiviti anak-anak akan mendorong mereka untuk mencapai cita-cita yang diimpikan,” ujarnya.
Ahli Parlimen P.71 Sepanggar merangkap Ketua Cabang PKR Kota Belud itu turut menjelaskan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar dan program untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif.
Ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dalam bentuk pembiayaan dan prasarana pendidikan demi kesinambungan pembangunan negeri.
Menurut beliau, institusi pengajian tinggi (IPT) juga telah merangka pelan strategik untuk menyediakan peluang pembelajaran terbaik, sekaligus melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang strategik seperti sains dan teknologi, kejuruteraan, perniagaan, serta ICT bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
“Kerajaan yang mengutamakan pendidikan akan memperuntukkan bajet besar untuk pendidikan, meningkatkan kualiti guru dan infrastruktur sekolah, serta memastikan akses pendidikan yang adil untuk semua rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran tentang pentingnya pendidikan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana pendidikan merupakan asas kepada pembangunan negara, kemajuan ekonomi, dan kesejahteraan sosial.
“Dengan memberi keutamaan kepada pendidikan, kita akan dapat melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing dalam pasaran global,” katanya.
Mustapha turut menyentuh isu masyarakat bumiputera yang masih belum memberi keutamaan terhadap pendidikan dan pembangunan kerjaya, menyebabkan mereka terus ketinggalan dalam pelbagai bidang.
“Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada golongan bumiputera, namun masih ramai yang tidak memanfaatkannya. Ini menunjukkan sikap sambil lewa yang harus diubah segera. Pendidikan harus dijadikan keutamaan demi meningkatkan taraf hidup bangsa,” tegasnya.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Mustapha berkata ia merupakan platform terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negeri ini.
“Semoga semangat perayaan Pesta Kaamatan terus dihayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan dan kemakmuran negeri serta rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Pesta Kaamatan itu turut diserikan dengan pertandingan Unduk Ngadau yang menyaksikan 14 peserta mengambil bahagian.
Tempat pertama dimenangi oleh Asrita Paison, 22, dari Kg Tambulion, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Marsha, 25, dari Kg Sarang dan Jeslina Silly, 22, dari Kg. Gaur.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick; Pengerusi Penganjur merangkap Ketua Penyelaras PKR N.11 Kadamaian, Jashlee Dayah; Presiden USTO, James Bagah; Presiden PKKM Malaysia, Raymond Ahuar; Presiden Tabilong, Muji Ampau; Ketua Daerah, Datuk Roslan Duraman dan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Azuan Norjan.-Oleh GINDANAU SAKAT.

CENDERAHATI …. Jashlee Dayah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mustapha dan disaksikan oleh Ewon, James Bagah dan yang lain.