Pelan Pembangunan SMJ 1.0 capai 94 peratus pencapaian keseluruhan

KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025 mencatat pencapaian memberangsangkan dengan 94 peratus kejayaan keseluruhan melibatkan 467 inisiatif.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, daripada jumlah itu, sebanyak 366 inisiatif telah mencapai tahap pelaksanaan 100 peratus setakat Mei 2025, berdasarkan Laporan Inisiatif Hala Tuju SMJ yang disediakan oleh Sekretariat SMJ.

“Pertumbuhan ekonomi Sabah juga menunjukkan trend positif saban tahun, dengan rekod hasil negeri meningkat daripada RM77.8 bilion pada 2020 kepada RM78.7 bilion pada 2021, RM82.1 bilion pada 2022, RM83.2 bilion pada 2023 dan RM84.3 bilion pada 2024,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin (Gagasan Rakyat–Nabawan) di Dewan Undangan Negeri.

Tambahnya, jumlah perdagangan negeri turut mencatat pertumbuhan ketara, melepasi paras RM100 bilion sejak tahun 2022.

“Pada 2022, perdagangan Sabah mencecah RM118 bilion, meningkat RM30.8 bilion berbanding tahun sebelumnya. Terbaru, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengesahkan jumlah perdagangan negeri pada 2024 ialah sebanyak RM107.8 bilion,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pendapatan negeri juga bertambah saban tahun, membolehkan belanjawan negeri ditingkatkan.

“Sepanjang 2020 hingga 2024, pendapatan negeri mencecah RM26.224 bilion. Ini termasuk RM3.591 bilion (2020), RM5.449 bilion (2021), RM6.960 bilion (2022), RM6.973 bilion (2023) dan RM6.842 bilion pada 2024,” ujarnya.

Antara penyumbang utama peningkatan hasil tersebut ialah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang menekankan prinsip ‘Greater Say, Greater Participation, Greater Revenue’.

Dari segi pelaburan, sejumlah 52 projek pelaburan bernilai RM17.42 bilion telah direalisasikan sepanjang 2021 hingga 2024, manakala pada suku pertama 2025, pelaburan yang diluluskan mencecah RM10.9 bilion.

“Secara keseluruhan, sebanyak 420 projek pelaburan diluluskan dalam tempoh 2021 hingga 2024, dengan nilai keseluruhan RM35.38 bilion. Daripada jumlah ini, RM20.61 bilion adalah pelaburan domestik dan RM14.77 bilion merupakan pelaburan asing,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan sektor perindustrian, kerajaan negeri turut merancang untuk menubuhkan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Bersepadu di Kota Belud atau Kota Marudu, serta di kawasan Beaufort dan Kimanis.

Sektor pelancongan juga menunjukkan perkembangan positif. Sepanjang 2021 hingga 2024, Sabah menerima 7.85 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM16.84 bilion.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 sahaja, seramai 1,437,570 pelancong direkodkan, terdiri daripada 848,420 pelancong domestik dan 559,150 pelancong antarabangsa, dengan jumlah perbelanjaan pelancongan mencecah RM3.298 bilion,” katanya.

Dalam aspek pembangunan modal insan, kerajaan negeri memperuntukkan RM848.26 juta sepanjang 2021 hingga 2024 untuk pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Tambahan RM485 juta turut disediakan menjadikan keseluruhan perbelanjaan bagi sektor tersebut mencecah RM1.33 bilion.

NIZAM ABU BAKAR TITINGAN