KOTA KINABALU: Sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.3 bilion.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, ini bererti pelaburan sektor pembuatan di Sabah bagi suku pertama 2025 adalah tertinggi di Malaysia.
“Ini mencerminkan pelabur terus yakin melabur di Sabah, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Phoong berkata, Kerajaan Sabah sentiasa berusaha memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan diyakini oleh pelabur asing mahupun domestik.
Katanya, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi global atau tekanan geopolitik, keperluan infrastruktur dan sebagainya, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan pelabur domestik terus berkembang di Sabah, dan pelabur asing terus yakin masuk ke Sabah.
“Komitmen ini dapat dilihat hasilnya apabila Sabah berjaya mencatat jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.9 bilion bagi suku pertama tahun 2025, iaitu tempat ketiga tertinggi di Malaysia, selepas Selangor dan Persekutuan Kuala Lumpur. Angka ini juga melebihi jumlah keseluruhan pelaburan yang dicapai sepanjang tahun 2024,” katanya.
Phoong berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (KPPKS) mengambil langkah-langkah proaktif, bertanggungjawab dan prihatin bagi membantu, menyelaras dan memudah cara pelaburan.
Katanya, Pasukan Petugas Pelaburan Pembuatan Negeri merupakan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KPPKS untuk membantu pelabur menyelesaikan pelbagai isu dan keperluan yang dihadapi dan diperlukan oleh pelabur asing atau tempatan.
“Dengan adanya pasukan petugas tersebut, kita sentiasa kerjasama dengan pihak pemegang taruh dan agensi berkepentingan seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity bagi memastikan perancangan infrastruktur dan keperluan dapat dipenuhi.
“Dengan wujudnya kerjasama ini, kita letakkan keyakinan kepada pihak berkuasa iaitu Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan perancangan dan pembangunan infrastruktur berkaitan.
“Prinsipnya adalah, kerjasama untuk merancang dengan teratur. Sebarang pelaburan adalah tidak merugikan pengguna domestik,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, dengan kerjasama dengan MCMC, kemudahan telekomunikasi dan internet telah ditingkatkan tahun lepas. Ia telah memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelabur seperti SK Nexilis.
Phoong berkata, selain itu, taman-taman perindustrian seperti KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, terus diberikan peruntukkan untuk meningkatkan ketersediaan infrastruktur asas dan utiliti seperti pembinaan pencawang pembahagi utama 33KV/11KV bagi SOGIP yang diperuntukkan RM40 juta sedang giat dijalankan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga melalui JETAMA Sdn Bhd melaksanakan inisiatif penyediaan air bersih khusus untuk kegunaan industri.
Katanya, buat masa ini, inisiatif ini sedang giat dilaksanakan di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu yang melibatkan penggunaan teknologi kaedah penyahgaraman air laut untuk menghasilkan air bersih bagi kegunaan kilang atau industri.
“Dengan inisiatif-inisiatif ini, KPPKS terus membantu, menyelaras dan memudah cara pelabur-pelabur domestik dan asing menjalankan pelaburan di Sabah.
Prestasi pelaburan Sabah bagi suku pertama 2025 yang memberangsangkan telah membuktikan bahawa Sabah terus diyakini oleh pelabur dan terus menjadi satu destinasi pelaburan di rantau ini,” katanya.








